Tuesday, March 24, 2020

KENAPA UPSI DAN ARTIFICIAL INTELLIGENCE???




Kenapa UPSI dan Artificial Intelligence (AI)? Pertamanya memang kedua-duanya bukan pilihan utama aku dalam meneruskan peringkat PhD sebab aku lebihkan pada melihat dan menilai reputasi sesuatu tempat dan juga minat aku dalam sesuatu bidang. 

Tapi bila aku jumpa kawan aku, pensyarah UPSI (sekarang jadi SV aku) masa lepak kat mamak jadi turning point aku ke UPSI dan A.I. UPSI ada menawarkan PhD yang bukan pendidikan (ini baru aku tahu) dan juga diskaun untuk staf yang sambung belajar. So, inilah salah satu sebab utama aku berpaling tadah ke UPSI, sebab kewangan aku kena pertimbangkan sebab bukan sahaja yuran tetapi kos-kos lain yang aku perlu hadap. Aku taknaklah ambil biasiswa atau pinjaman untuk tampung pelajaran aku, aku rela bayar sendiri supaya aku tidak terikat dengan mana-mana pihak

UPSI tempat aku bekerja, hari-hari aku datang UPSI (hehe kalau aku tak ke mana-mana lah). Kos perjalanan aku telah dibajetkan tiap-tiap bulan dalam kos dan tiada kos tambahan aku perlu top up untuk sambung belajar. Kalau nak hilang pun ada pergi library ke, jumpa SV ke, duduk bawah pokok di UPSI ke. Janji dalam kawasan, bila Pengarah cari adalah aku kat dalam radar. Aku tidak berkira sangat bab duit ini sebab boleh duduk kais-kais lagi (eleh yeke tak kira). Tapi bab MASA adalah keutamaan aku, sebab antara Perdana Menteri dengan aku, manusia paling buat-buat sibuk adalah aku. Takdelah dengan aku sambung PhD ini aku perlu cipta masa yang lain untuk aku uruskan secara inklusif

AI pulak, menda alah apa ini dalam hidup aku ini. Sebelum ini aku pernah dengar tapi tak pernah nak terokai. Bila bila zaman IR4.0 ini aku terfikir kenapa aku tidak ambil peluang untuk menjadi salah satu SME (subject matter expert) dalam bidang AI ini. Orang kata aku lari bidang dari apa yang aku ceburi selama ini. Eh! Jangan silap ek, AI ini aku jadikan tool untuk aku buat satu framework dalam pengurusan tenaga. Bukan ke bidang kau Mekanikal, Pengurusan Projek dan bukan minat kau dalam Construction Law? 

Mekanikal? Aku dah capai dalam professional aku (Ir.). Pengurusan Projek? Aku dah ada master masa di Universiti Malaya, Insha Allah tahun 2020 aku sit exam untuk Project Management Professional (PMP) pula. Construction Law memang aku minat tetapi aku boleh pergi laluan professional yang ditawarkan diluar dibawah AIAC. 

So, AI adalah satu term yang agak baru dan ianya agak popular sekarang ini untuk diterokai dengan data-data yang aku ada dan networking yang aku ada. Sebab SUSTAINABILITY dalam tenaga ini banyak sangat informasi dan teknologi dan aku harap ianya dapat membantu aku Graduate On Time (GOT) walaupun aku Part Time. Aku dah buat milestone untuk aku capai dan aku perlu dan harus laluinya

Buat isteriku tercinta dan anak-anak tersayang, doakan agar suami dan Papa dapat mengharunginya untuk masa depan kita yang lebih baik. Minta maaf  kalau tiba-tiba mood swing, muka ketat, jadi buang tebiat tiba-tiba. Maafkanlah ye...

Next, aku cerita pasal proposal PhD aku dalam A.I 

Sekian, terima kasih
#day7 MCO Malaysia
24 Mac 2020

Saturday, March 21, 2020

TAHUN 2020 TAHUN TULIS, TULIS DAN TULIS



Assalamualaikum WBT, lama rasanya tidak menulis dalam blog ini. Ada lagi ke orang menulis dalam blog? Lantaklah, ada aku kisah. Tahun 2020 dah masuk hujung bulan Mac dah, nak-nak pulak time kena kurung di rumah pasal isu Covid-19. So, macamlah dalam kepala fikir apa nak dibuatkan sepanjang tempoh kuarantin ini. Fikir punya fikir, terlintas nak update blog yang bersawang. Last duduk menaip blog pada tahun 2014

Aku just nak share dan juga salah satu latihan aku untuk dapatkan momentum untuk menulis dan terus menulis sebab tahun 2020 ini aku dah daftar sebagai PhD student di UPSI. So, untuk meneruskan kelangsungan dan mendapatkan skill menulis, nak tak nak aku kena mulakan dari satu point. Kenapa bila ambil PhD kena nak mula menulis? Bila baca peraturan akademik UPSI, syarat untuk bilangan perkataan dalam thesis perlulah 80,000 hingga 100,000 patah perkataan. Cuba engkau bayangkan apa aku nak tulis sebanyak itu?

So, bermulalah aku gunakan platform ini untuk aku buat sharing perjalanan PhD aku sepanjang tiga tahun yang perlu aku lalui. Mana tahu, akan dibukukan nanti sebagai panduan untuk yang bakal ambil PhD. Mungkin yang akan bertanya, awat sibuk nau nak abil PhD? Sedangkan title professional dah ada lepas itu kerja dan firma konsultan pun dah ada. Tak busy ke? Ada ke masa nak buat PhD? Pada aku yang pertama, kita harung jek dulu, kemudian kita adjust slow-slow. Aku dah rancang nak ambil PhD ini lima tahun lepas masa aku selesaikan Master di UM

Aku buat perancangna lima tahun 2015-2020, ada pillar yang tidak tercapai ada yang tercapai. No worries about that, just proceed what ever u have done before. So untuk tahun 2020-2025 aku perlu review apa yang patut diteruskan atau perlu pillar pencapaian yang lain. Aku dan buat perancangan lima tahun ini dah dua kali, 2010-2015 dan 2015-2020, so apa yang aku tulis seblum ini telah tercapai. Mimpi percumakan, so mimpilah, idamlah apa yang kau inginkan. Tiada yang melarang pun kecuali diri sendiri yang bagi seribu satu alasan.

Next post, aku cerita kenapa aku pilih UPSI untuk sambung PhD dan kenapa aku pilih Artificial Intelligence (A.I) sebagai wadah PhD aku.

Sekian, terima kasih
#day4  MCO Malaysia
21 Mac 2020

Tuesday, October 21, 2014

Mak (1962-2014)

Akhirnya mak pergi jua setelah hampir 5 bulan menderita sakit “pancreatic cancer (advanced stage)”. Sedih memang teramat sedih, terasa kehilangan besar dalam hidup. Belum puas untuk memberikan khidmat bakti sebagai anak. Mak telah dibenar pulang selepas Dr. Kong JK (PPUM) menyatakan untuk merujuk mak kepada Palliative Care. Sebab segala medication yang diberikan pada mak tidak mampu untuk merawat jangkitan kuman yang sentiasa membuatkan mak check-in dan check-out di PPUM. Kalau nak tahu tentang Palliative Care boleh google info tentangnya, bahasa paling mudah yang boleh aku sebutkan di sini ialah satu rawatan “non-active medication” di mana pesakit diberi rawatan yang selesa untuk menghabiskan sia-sia hidupnya atau menyediakan diri pesakit dan keluarga pesakit untuk menunggu saat-saat kematian pesakit.

Aku telah berbincang dengan adik-beradik agar berkumpul dan bercuti bersama. Mak dan Abah teringin nak bercuti bersama satu keluarga. Kami pilih PD sebagai destinasi percutian kami sebab beberapa faktor yang membataskan mak untuk bergerak sana sini. Lagipun mak ada buat korban daripada hasil mak bekerja dulu, korban tersebut dilakukan di kampong (Tanjung Bidara). Seperti yang dirancang kami berkumpul bersama di banglo sewa di PD. Petang Sabtu (4/7/2014) kami bawa mak lepak kat pantai Teluk Kemang sambal mak tengok cucu-cucunya bermain dan mandi pantai. Mak banyak termenung melihat jauh ke arah pantai, mungkin mak sedang merasai apa itu sakaratul maut yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hambaNYA. Mak tidak menunjukkan tanda-tanda yang sakit belakang atau mengeluh cepat penat. Cuma mak kesejukan bila ditiup hembusan angin laut.

Kesokkan harinya kami pulang ke Durian Tunggal, rumah yang kami beli untuk mak dan abah. Hajatnya selepas abah pencen nak tinggal kat Melaka tapi tidak kesampaian. Cuma balik sekali sekala untuk lepak dan bersihkan rumah dihujung minggu. Bila mak balik, ramai saudara mara dan adik-beradik mak datang melawat mak. Mak sebelum sakit memang selalu ambil tahu dan ambil berat tentang orang-orang disekelilingnya, ada berita tentang orang lain sakit atau meninggal, sudah pasti mak orang yang paling sibuk untuk pergi menjenguknya. Dan sebagai balasannya apabila mak sakit ramai yang datang menjenguknya dan bertanya khabar. Benarlah apa kata orang dulu-dulu, kita buat baik dengan orang, insya Allah orang akan buat baik dengan kita balik semula. Kami tak perlu sibuk-sibuk nak masak untuk orang-orang yang datang melawat mak, tapi mereka datang dengan juadah untuk dijamu bersama.

Aku bawa balik mak ke Shah Alam pagi Isnin untuk mengelakkan terperangkap dalam traffic terlalu lama, Abah dan adik-adik balik Tanjung Bidara untuk gotong royong berkorban, Mak tak banyak cakap semasa perjalanan balik, Mak cuba menyelesakan diri di dalam kereta sebab Mak tidak boleh duduk terlalu lama. Mak tidak tunjukkan yang Mak sakit, Mak lebih banyak termenung pada hari terakhir dalam hidupnya. Aku menjalankan tugas dan tanggungjawab aku seperti biasa, kemas katil, bagi mak minum dan tukar beg takungan pada perut mak, sebab dah terlalu basah pada bahagian gam. Mak juga sempat tersenyum bila lihat cucunya bermain basikal yang baru aku belikan untuk Iman, baru belajar mengayuh. Kami menunggu kepulangan Abah dan adik-beradik yang lain sementara aku pula mencari pampers mak untuk stok seminggu dua.

Tengah malam, tengah aku sibuk di hadapan laptop buat rutin harian aku, aku dapat panggilan yang Mak tidak bernafas lagi, aku suruh adik aku cek nadi dan rasa dengup jantung. Aku bergegas ke Shah Alam, aku dapat rasakan yang Mak dah takda sepanjang aku memandu. Allah sahaja yang tahu, dengan jarak 18km Kerinchi ke Shah Alam aku rasakan bagi jauh dengan aku tak tahu macam aku boleh memandu dalam keadaan aku separuh sedar dan mengigil. Aku tiba Shah Alam dan periksa Mak dan aku pasti yang Mak telah pergi selamanya cuba aku perlukan pengesahan daripada orang yang lebih pakar. Akhirnya, pasukan ambulan daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah datang untuk mengesahkan yang Mak telah pergi selamanya.

Mak, damailah Mak di sana
Mak, ketahuilah Along amat merindui Mak
Mak, Along tak puas lagi jaga Mak, 
Mak, Along tak penat lagi jaga Mak,


Mak, Along belum habis bercerita tentang cita-cita Along
Mak, banyak tempat yang belum Along bawa Mak jalan-jalan
Mak, Along belum puas bergambar dengan Mak, kejayaan Along yang telah kecapi
Mak, Along pasti akan rindu dengan doa-doa Mak yang sentiasa mengiringi usaha Along selama ini


Mak, doa Along sentiasa mengiringi Mak di sana
Mak, rehat dengan tenang di sana
Mak, tunggu Along di pintu syurga yea
Sebab, syurga Along dibawah tapak kaki Mak……







Monday, September 15, 2014

Hijrah 2...

Untuk menjadi lebih baik kita haruslah berani berhijrah, kerana hijrah membuatkan kita lebih tekun berusaha. Bak kata pepatah "USAHA tangga kejayaan", so aku kena berusaha untuk berjaya. Bila dah berjaya barulah kita KAYA. Kaya bukan sahaja dilihat dari segi kewangan tetapi kaya dengan rendah diri, kaya dengan budi bahasa, kaya dengan ilmu, kaya dengan segala macam yang baik belaka jika kita berfikiran positif untuk berjaya. Bukan mudah untuk diri aku untuk mengtranformasikan kekuatan yang sedia ada kepada kekuatan lain yang perlu aku develop dari bawah. Korang mesti tak paham kan....

Aku, kekuatan pemikiran, otak aku, kegeniusan aku dalam bidang yang melibatkan angka dan figure..segala bentuk nombor dan simbol aku akan jadi ralit dan kadang2 aku lupa yang aku dah habiskan berjam-jam untuk hadapnya...tu sebab lalui kerjaya aku boleh dilihat sejak aku kecil lagi (tu mak ceritalah, kecenderungan aku masa kecik), yang aku ingat masa sekolah rendah, tu pun masa darjah 6. Memang takdir aku untuk menjadi engineer, dan nah telah aku capai hasrat itu. Tapi bila mana usia aku meningkat, rambutku mula bertukar warna, bulu hidung pun dan beruban...aku mula mengubah orbit dalam perjalanan hidup aku..

Dari seorang engineer kepada pengurus. Atau dalam bahasa mudahnya dari teknikal kepada pengurusan...sedikit sebanyak membuatkan aku sedikit tergelincir kerana aku perlu kuatkan asas dalam diri aku...iaitu KEYAKINAN...tu sebab tagline hidup aku berubah "Confidence Come First". Dengan membawa maksud dalam bahasa pasarnya..."kau hadap jek dulu, boleh tak boleh belakang cerita" atau "kau terjun dulu, dalam tak dalam baru tau bila dah terjun"...walaupun aku tidak tahu sgt dgn sesuatu, aku akan amik risiko untuk hadapinya...cuma bekalan yang aku ada adalah pengurusan risiko. Bagaimana aku nk menguruskan risiko, daripada 10 darjah risiko tinggi turun pada 5 atau 4 darjah risiko rendah..uruskan risiko untuk hadapai cabaran yang mendatang.

Pada aku, tuntut ilmu tiada had dan jalan hentinya. Aku perlu menuntut ilmu sehingga nafasku yang terakhir. "Memang lelah untuk belajar dan menuntut ilmu, tetapi aku tidak sanggup menanggung KEBODOHAN sepanjang hidup aku"....

Sunday, September 14, 2014

Hijrah...

Assalamualaikum

Lama tidak menulis, sibuk dengan research project memang tidak menang tangan aku dibuatnya, belum lagi buku-buku yang hendak ditulis dan diterbitkan. Masa memang hendak difikirkan tidak mencukupi tapi aku cuba untuk menyeimbangkannya agar insan-insan yang berkepentingan disekeliling aku mendapat perhatian daripada aku. Dan juga masyarakat sekeliling aku dan juga saudara se-Islam aku diseluruh dunia mendapat manfaat daripada aktiviti yang sedang aku lakukan. 

Banyak perkara yang telah berlaku dalam diri aku sejak kebelakangan ini, dan aku perlu tabah untuk menghadapi dan mengharunginya. Tidak mudah untuk aku laluinya tetapi aku ada isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi senyuman apabila keletihan membuatkan aku bersemangat kembali. Aku perlu berada dilandasan yang betul agar aku tidak tersasar daripada matlamat yang telah aku rancang. Untuk mencapai matlamat tersebut banyak perkara yang telah dan akan aku lalui. Memang benar, untuk mengecapi sesuatu kejayaan, pengorbanan perlu dilakukan. Kejayaan dibayar dengan pengorbanan. 

Hijrah kali ini memang tidak dirancang atau diduga, namun mungkin ianya telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk kami sekeluarga melaluinya. Ianya bukan sesuatu yang sukar untuk ditakulkan oleh insan yang normal. Mungkin sudah tiba masa, penumpuan pada keluarga dan 9/10 punca rezeki perlu dilakukan. Pada asasnya agak sukar untuk memikirkan apa strategi yang perlu dibuat, namum ianya perlu satu diskusi dari hati ke hati agarnya ianya dapat diseimbangkan keperluannya di dalam kehidupan keluarga kami.

Pada aku, keluarga terutama the iman's menjadi keutamaan kami, segala keperluan dan pengisian ilmu pengetahuan tentang agama dan kehidupan menjadi agenda utama aku dan isteri. Memang aku tidak berkebolehan dalam mendidik secara inklusif pada mereka tetapi aku cuba untuk menjadi yang terbaik untuk mereka dan memberikan yang terbaik untuk mengisi diri mereka dengan segala ilmu yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan dugaan mereka pada masa mendatang...

Next Hijrah 2.....

Thursday, July 3, 2014

Abah...



Sekian kali, mak warded lagi untuk kes yang lain. Dah bahagian dia untuk hadapi semua ini. Dan ini juga peranan kami adik beradik untuk berbakti pada kedua ibubapa selagi ada hayat dikandung badan. Gunakanlah peluang sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab walaupun sekelumit kuman kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang mereka telah lakukan untuk kami semua. Abah sejak kami kecik memang garang, kalau belakang tak berbirat kena pukul bukan abahlah namanya. Abah hanya berkerja mengutip sampah dan menyapu sampah dipasar malam, dengan gajinya yang tidak seberapa mampu untuk membesarkan kami, menyekolahkan kami. Abah bukan jenis yang suka meminta-meminta dengan orang lain atas kesusahannya yang dialaminya. Walaupun arwah atuk mempunyai banyak harta dan duit, walaupun adik beradik abah yang lain mempunyai kerjaya dan perniagaan yang stabil. Namun abah mencari mengunakan tulang empat keratnya, berpanas dan berhujan. Pada usianya yang kini menjejaki 64 tahun, nampak fizikal masih kuat dan bertenaga. Tapi kesihatan mental dah mulai susut, abah mengalami “short term memory lost”. Abah tidak mampu untuk menguruskan hal-hal mak di hospital, tidak mampu untuk berurusan dengan doktor berkaitan dengan mak. Dengan usia sebegitu aku memang hanya mengharapkan dia menemani mak seberapa lama yang abah mampu. Untuk urusan lain, biar aku dan adik beradik yang lain uruskan. Consent untuk rawatan dan procedure mak pun di bawah tanggungjawab aku, segala persoalan yang berkaitan dengan mak semua aku usulkan…aku kena meletakkan diri aku yang menghadapi kesaikatan yang mak sedang lalui, supaya doktor-doktor di PPUM dapat membuat diagnose yang tepat untuk mak….

….dengan usia abah, biarlah abah sentiasa dengan mak untuk menemani setiap masa dan saat. Cuma kadang-kadang bila aku tengok dia keletihan, aku akan bawa balik ke rumah agar dia boleh berehat dengan sempurna, tapi almaklumlah tidak biasa dengan rumah anak-anak, memang kekok abah dibuatnya. Abah tetap Abah…