Akhirnya mak pergi jua setelah hampir 5 bulan menderita
sakit “pancreatic cancer (advanced stage)”. Sedih memang teramat sedih, terasa
kehilangan besar dalam hidup. Belum puas untuk memberikan khidmat bakti sebagai
anak. Mak telah dibenar pulang selepas Dr. Kong JK (PPUM) menyatakan untuk
merujuk mak kepada Palliative Care. Sebab segala medication yang diberikan pada
mak tidak mampu untuk merawat jangkitan kuman yang sentiasa membuatkan mak
check-in dan check-out di PPUM. Kalau nak tahu tentang Palliative Care boleh
google info tentangnya, bahasa paling mudah yang boleh aku sebutkan di sini
ialah satu rawatan “non-active medication” di mana pesakit diberi rawatan yang
selesa untuk menghabiskan sia-sia hidupnya atau menyediakan diri pesakit dan
keluarga pesakit untuk menunggu saat-saat kematian pesakit.
Aku telah berbincang dengan adik-beradik agar berkumpul dan
bercuti bersama. Mak dan Abah teringin nak bercuti bersama satu keluarga. Kami
pilih PD sebagai destinasi percutian kami sebab beberapa faktor yang
membataskan mak untuk bergerak sana sini. Lagipun mak ada buat korban daripada
hasil mak bekerja dulu, korban tersebut dilakukan di kampong (Tanjung Bidara).
Seperti yang dirancang kami berkumpul bersama di banglo sewa di PD. Petang Sabtu
(4/7/2014) kami bawa mak lepak kat pantai Teluk Kemang sambal mak tengok
cucu-cucunya bermain dan mandi pantai. Mak banyak termenung melihat jauh ke
arah pantai, mungkin mak sedang merasai apa itu sakaratul maut yang telah
dijanjikan oleh Allah SWT kepada hambaNYA. Mak tidak menunjukkan tanda-tanda
yang sakit belakang atau mengeluh cepat penat. Cuma mak kesejukan bila ditiup
hembusan angin laut.
Kesokkan harinya kami pulang ke Durian Tunggal, rumah yang
kami beli untuk mak dan abah. Hajatnya selepas abah pencen nak tinggal kat
Melaka tapi tidak kesampaian. Cuma balik sekali sekala untuk lepak dan
bersihkan rumah dihujung minggu. Bila mak balik, ramai saudara mara dan
adik-beradik mak datang melawat mak. Mak sebelum sakit memang selalu ambil tahu
dan ambil berat tentang orang-orang disekelilingnya, ada berita tentang orang
lain sakit atau meninggal, sudah pasti mak orang yang paling sibuk untuk pergi
menjenguknya. Dan sebagai balasannya apabila mak sakit ramai yang datang
menjenguknya dan bertanya khabar. Benarlah apa kata orang dulu-dulu, kita buat
baik dengan orang, insya Allah orang akan buat baik dengan kita balik semula.
Kami tak perlu sibuk-sibuk nak masak untuk orang-orang yang datang melawat mak,
tapi mereka datang dengan juadah untuk dijamu bersama.
Aku bawa balik mak ke Shah Alam pagi Isnin untuk mengelakkan
terperangkap dalam traffic terlalu lama, Abah dan adik-adik balik Tanjung
Bidara untuk gotong royong berkorban, Mak tak banyak cakap semasa perjalanan
balik, Mak cuba menyelesakan diri di dalam kereta sebab Mak tidak boleh duduk
terlalu lama. Mak tidak tunjukkan yang Mak sakit, Mak lebih banyak termenung
pada hari terakhir dalam hidupnya. Aku menjalankan tugas dan tanggungjawab aku
seperti biasa, kemas katil, bagi mak minum dan tukar beg takungan pada perut
mak, sebab dah terlalu basah pada bahagian gam. Mak juga sempat tersenyum bila
lihat cucunya bermain basikal yang baru aku belikan untuk Iman, baru belajar
mengayuh. Kami menunggu kepulangan Abah dan adik-beradik yang lain sementara
aku pula mencari pampers mak untuk stok seminggu dua.
Tengah malam, tengah aku sibuk di hadapan laptop buat rutin
harian aku, aku dapat panggilan yang Mak tidak bernafas lagi, aku suruh adik
aku cek nadi dan rasa dengup jantung. Aku bergegas ke Shah Alam, aku dapat
rasakan yang Mak dah takda sepanjang aku memandu. Allah sahaja yang tahu,
dengan jarak 18km Kerinchi ke Shah Alam aku rasakan bagi jauh dengan aku tak
tahu macam aku boleh memandu dalam keadaan aku separuh sedar dan mengigil. Aku
tiba Shah Alam dan periksa Mak dan aku pasti yang Mak telah pergi selamanya
cuba aku perlukan pengesahan daripada orang yang lebih pakar. Akhirnya, pasukan
ambulan daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah datang untuk mengesahkan yang
Mak telah pergi selamanya.
Mak, damailah Mak di sana
Mak, ketahuilah Along amat merindui Mak
Mak, Along tak puas lagi jaga Mak,
Mak, Along tak penat lagi jaga Mak,
Mak, Along belum habis bercerita tentang cita-cita Along
Mak, banyak tempat yang belum Along bawa Mak jalan-jalan
Mak, Along belum puas bergambar dengan Mak, kejayaan Along yang telah kecapi
Mak, Along pasti akan rindu dengan doa-doa Mak yang sentiasa mengiringi usaha
Along selama ini
Mak, doa Along sentiasa mengiringi Mak di sana
Mak, rehat dengan tenang di sana
Mak, tunggu Along di pintu syurga yea
Sebab, syurga Along dibawah tapak kaki Mak……
No comments:
Post a Comment