Aku terpanggil untuk mencoret sedikit sebanyak tentang dunia
yang aku telah ceburi sekian lama. Dunia sukarela, aku suka dan aku rela. Aku
baru balik dari berkongsi ilmu dengan belia-belia Sarawak bersama kumpulan
LIBAS (Latih dan Bangun Sukarelawan), perkara yang aku kongsi ialah sedikit
pengalaman untuk mengatasi isu dan konflik dalam dunia bersukarela. Perjalanan
aku dalam dunia sukarela ini bermula dengan hanya ikut-ikut aktivti sahaja dan
suka-suka membuang masa dengan cara yang berfaedah. Pada aku perjalanan aku
dalam dunia sukarela ini masih awal lagi jika dibandingkan dengan insan-insan
terpilih yang telah lama terjebak dalam dunia sukarela. Aku lalui juga waktu
dan ketika aku kecewa dengan dunia sukarela dan menyebabkan aku berehat
sebentar dari melakukan sebarang aktiviti. Kecewa dengan ragam orang yang
pelbagai dan situasi yang tidak teratur dan huru hara. Rupa-rupanya aku silap
dengan sikap kekecewaan aku tersebut sebab dalam dunia sukarela ini perasaan
yang negatif adalah cikgu yang terbaik dalam mengajar diri aku untuk terus aku
perbaiki diri aku untuk jadi yang lebih baik. Ianya membentuk jati diri kita untuk
terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam dunia sukarela.
Ramai yang kata, apa yang engkau dapat dengan kerja-kerja
sukarela. Aku hanya diamkan diri dan aku tersenyum. Biarlah kita bergerak dan
lakukan kerja-kerja sukarela ini dari dalam hati kita. Jika kita tidak mampu,
kita jangan lakukan. Ianya akan membawa keburukan daripada kebaikan kepada diri
kita. Biarlah orang kata kita berat tangan dari melakukan kerja-kerja sukarela
daripada memberatkan tangan orang lain dalam melakukan kerja-kerja sukarela.
Hidup kita ini jangan kita menyusahkan diri dan jangan menyusahkan orang lain.
Paling penting ialah kita melakukan perkara yang kita suka dan minat, walaupun
susah mana perkara itu kita akan terus hadapinya untuk mencapai cita-cita yang
diingini. Sebenarnya dalam hidup kita ini hanya ada dua pilihan sahaja. Ya atau
Tidak. Betul atau Salah. Positif atau Negatif, Teruskan atau Berhenti.
So..Pilihlah ikut kehendak, keperluan dan gerak hati sendiri. Begitu juga dalam
dunia sukarela, hanya ada dua pilihan “NAK LAKUKAN atau TAKNAK LAKUKAN”.
Percayalah, dunia sukarela ini memberi seribu satu ilmu,
pengalaman, perasaan, persahabatan, kekuatan mengatasi kelemahan dan
macam-macam perkara yang tidak mampu diungkapkan dan juga dicoretkan. Aku Suka
dan Aku Rela.
No comments:
Post a Comment